Wednesday, 20 June 2007

TV Web Bakal Muncul Di Sekolah Anda!


Rancangan terbitan BTP terap elemen pembelajaran, pengajaran

TV Web yang menggantikan TV Pendidikan akan berwajah baru dengan
menampilkan kandungan menarik dan berbeza berbanding program sedia ada,
malah disuntik beberapa elemen yang menumpu kepada proses pembelajaran dan
pengajaran (P&P) seperti disediakan Kementerian Pelajaran.


Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pelajaran,
Datuk Yusoff Harun, berkata selain pengisian berasaskan kurikulum,
TV Web akan diselitkan komponen seperti hal ehwal semasa, wawancara,
video dan siaran langsung yang memaparkan maklumat terkini serta
padat.

Katanya, BTP bertanggungjawab dalam penyediaan rancangan kurikulum dalam
TV Web dan memberi penekanan terhadap kualiti bahannya.

“Semua rancangan dihasilkan BTP mengikuti prosedur yang disahkan SIRIM QAS
International sebagai telah mencapai tahap kualiti antarabangsa MS ISO
9001:2000.

“Tumpuan turut diberikan kepada usaha memperluaskan skop TV Web dengan
meletakkan fokus terhadap usaha membimbing guru mengaplikasikan rancangan
itu dalam proses P&P,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Yusoff berkata, pihaknya berharap guru memanfaatkan program TV Web dengan
sebaik mungkin. Ini bagi membantu mereka menggunakan kaedah berkesan ke
arah mewujudkan iklim pembelajaran lebih bermakna dan berkesan.

“Usaha itu akan dijalankan dengan kerjasama Pusat Sumber Pendidikan
Negeri, Pusat Kegiatan Guru serta pakar teknologi komunikasi dan maklumat
(ICT) yang terbabit secara langsung dalam pembangunan TV Web,” katanya.

Yusoff berkata, pembangunan TV Web dijangka selesai tidak lama lagi dan ia
akan dilaksanakan berperingkat tahun ini berdasarkan perancangan
peningkatan perkakasan dan jalur lebar SchoolNet.

Ketika ini katanya, siaran TV Pendidikan terbatas dari jam 9.00 hingga
11.30 pagi yang disiarkan menerusi saluran TV9 dan saluran 22 di Astro.

“Kebanyakan guru dan murid termasuk di Sabah dan Sarawak selalu menghadapi
masalah mengikuti pembelajaran melalui TV Pendidikan termasuk masa
tayangannya terhad.

“Kekangan itu mengganggu jadual guru yang sepatutnya dijadikan panduan
dalam proses P&P di sekolah, katanya.

Yusoff berkata, penyaluran rancangan TV Pendidikan menerusi TV Web
membolehkan BTP memantau serta menilai setiap rancangan, sekali gus
mempertingkat mutu dan memperkembangkan skopnya serta tidak terikat dengan
rancangan sedia ada.

Katanya, pembangunan TV Web dibuat selaras perkembangan ICT di negara ini
dan disifatkan sesuai bagi merevolusikan TV Pendidikan supaya dapat
diakses murid dan guru seluruh negara.

BH

No comments: